Minggu 3 – Aplikasi Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet


KONSEP ETIKA

ETIKA KOMPUTER

  • Etika komputer umumnya adalah satu bidang mengenai penggunaan komputer yang betul (panduan).
  • Hak peribadi individu, ketepatan dan kesahihan maklumat, harta intelek dan capaian adalah antara isu atau dilema yang membabitkan etika.
  • Penggunaan komputer dalam era maklumat.
MASALAH MORAL DAN ETIKA




PRINSIP ETIKA KOMPUTER





PANDUAN KEPADA PENGGUNA KOMPUTER ADALAH SEPERTI BERIKUT



Cara membuat Brosur menggunakan Microsoft Publisher


  • Brosur ialah untuk sebagai media promosi.

  • Dapat memberi maklumat atau memujuk masyarakat untuk melibatkan diri dalam sesuatu bidang yang tertentu.
  • Brosur juga dapat digunakan dalam dunia perniagaan untuk menyampaikan maklumat atau jualan yang diadakan.



Cara membuat brosur


 

1) Buka Microsoft Publisher 2007.                                       

2) Setelah 'application' sudah dibuka, 'screen' akan memaparkan gambar seperti berikut, kemudian pilih BROCHURE. 
3) Langkah seterusnya pilih rekaan (design) yang anda minati dan rekaan tersebut adalah (mengikut kesesuaian brosur).
Contoh rekaan brosur yang dipilih ialah Tilt
4) Padamkan gambar-gambar atau maklumat yang tidak diperlukan. Setelah itu letakkan logo atau gambar yang anda perlukan.
Contoh gambar ialah Logo IPSAH
5) Setelah itu masukkan contoh butiran seperti:


  • Tajuk program/perkara dan lain-lain.
  • Nama penaja/penulis dan lain-lain.
  • Tarikh dan hari akan diadakan.
  • Aktiviti yang akan dijalankan
  • Matlamat program dan lain-lain butiran yang diperlukan
6) Proses seterusnya ialah proses untuk mencantikkan brosur anda. Hal ini bertujuan untuk menarik minat orang ramai untuk membaca brosur anda.


   

Minggu 2 – Menggunakan Internet, Enjin Pencari Bahan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu


Apa itu 'enjin pencari'

  •  Merupakan softwawre yang digunakan untuk mencari maklumat.
  • 'Enjin pencari' dicipta pihak tertentu bagi mencari maklumat dengan meletakkan kata kunci pada ruang yang telah disediakan.
  •  Kata kunci mestilah tediri daripada perkataan yang ringkas atau sasaran maklumat yang hendak kita dapatkan.
Tujuan dan jenis enjin pencari

Tujuan (konteks pendidikan)

  • Mencari bahan pengajaran dan pembelajaran yang interaktif.
  • Memudahkan pengguna mencari maklumat yang diperlukan.
 Jenis 'enjin pencari'

Cara mengkategorikan maklumat





1. Bagaimana mendapat maklumat di Internet ?


2. Memuat turun maklumat yang dihendaki

3. Mendapat maklumat yang dimuat turun dalam folder yang berkenaan.

4. Pengkategorian bahan berdasarkan kemahiran bahasa
  • Kemahiran Lisan        : video, audio dan sebagainya
  • Kemahiran Membaca : bahan bacaan dan sebagainya
  • Kemahiran Menulis     : tulisan dan sebagainya 

Minggu 1 - Penggunaan Enjin Pencari Bahan Bahasa Melayu


Menggunakan web, video, audio, dan imej

  • Terdapat beberapa pembekal maklumat yang terdapat di internet seperti Yahoo, Google, MSN dan lain-lain.
  • Yahoo dan Google adalah enjin pencari yang selalu digunakan. 
  • Kesemua pembekal maklumat internet memberikan perkhidmatan yang hampir sama iaitu bahan yang berelemenkan audio, video, teks, dan grafik.
  • Untuk melayari internet dengan menggunakan pelayar tertentu, pengguna perlu menaipkan alamat internet. Selalunya, apabila pengguna mengklik ikon internet, maka pengguna akan dibawa terus ke halaman yang telah disetkan secara semula jadi.
  • Untuk mendapatkan bahan, taipkan nama bahan yang berkenaan di dalam kotak pencari dan kemudian klik pada Web search.



  • Untuk mendapatkan bahan video, klik pada perkataan video dan kemudian klik di dalam kotak pencari bahan yang hendak diperolehi daripada internet. Bahan video boleh juga didapati daripada Youtube dengan menaipkan www.youtube.com.
  • Taipkan video yang hendak digunakan di dalam kotak pencari.
  • Setelah mendapatkan video yang diperlukan, anda perlu memuat turun video tersebut dengan menggunakan youtube downloader. Youtube down loader ini boleh dimuat turun secara percuma daripada internet.


Menggunakan kata kunci, frasa yang sesuai untuk mendapatkan bahan pengajaran bahasa Melayu.

Untuk mendapatkan bahan daripada internet, anda harus :




Menyimpan Bahan Dalam Fail Internet dan Katalog Internet

  • Untuk menyimpan bahan dengan menggunakan alamat internet, anda perlu mendapatkan halaman yang berkenaan terlebih dahulu. Lihat gambar rajah yang berikutnya.
  • Apabila telah menemui halaman yang berkaitan, sila klik kanan pada bahagian alamat tapak.
  •  Setelah diklik kanan, paparan arahan yang keluar dan sila klik copy.
  • Buka fail Word dan klik paste alamat tersebut ke atas fail yang berkenaan.
  • Apabila ini dilakukan, alamat yang berkenaan akan dipindahkan ke dalam fail Word.
  • Setelah itu, masukkan tajuk laman tadi. Sila buat berulang-ulang kali sehingga anda mahir melakukannya. 
  • Yang berikut diberikan beberapa contoh alamat internet yang telah diberikan.
Contoh Fail Internet
  1. Khasiat buah
  2. Buah- Buahan Tempatan
  3. Ayat Inti
  4.  Kata Ganda
  5. Kata Arah
  6. Kata Keterangan
  7. Kata Bilangan
  8. Kata Pembenar
  9. Kata Sendi
  10. Kata Pemeri
  11. Kata Nafi
  12. Kata Penegas
  13. Kata Penguat
  14. Kata Bantu
  15. Kata Pangkal
  16. Kata Perintah
  17. Kata Tanya
  18. Kata Ganda
  19. Kata Seru
  20. Kata Sifat
  21. Tatabahasa
  22. Golongan Kata Nama
    http://www.tutor.com.my/stpm/Golongan%20kata%20nama/golongankatanama.htm

  • Katalog alamat internet mempunyai perbezaan daripada alamat internet kerana katalog alamat internet, mempunyai tajuk, alamat laman, dan sinopsis.
  • Dengan menggunakan katalog alamat internet, anda dapat mengetahui isi kandungan laman berkenaan daripada sinopsis yang disertakan.
  • Sila sediakan kotak seperti yang di bawah ini:
Tajuk
URL
Sinopsis

 Contoh katalog


Tajuk
Peribahasa Melayu
URL
http://www.karyanet.com.my/bahasa/peribahasa_sm/
simp.php?pageNum_simpulan=2&simpulan_abjad=a
Sinopsis
Laman sesawang yang di keluarkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka ini mengenai peribahasa Melayu yang di gunakan dalam sukatan pelajaran bagi sekolah menengah di Malaysia. Laman sesawang ini menyenaraikan semua peribahasa.

Martabatkan bahasa Melayu pada zaman globalisasi

LANGKAH Kementerian Pelajaran membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan patut mendapat pujian semua pihak kerana ia mampu memenuhi tuntutan semasa dalam era globalisasi.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat penegasan itu pada majlis sambutan Jubli Emas dan perasmian Menara DBP yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuan Syed Putra Jamalullail di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya: “DBP perlu dibantu kerana tanpa bantuan itu hasrat untuk melihat bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang memenuhi tuntutan semasa tidak akan kesampaian.”

Beliau tidak menafikan kedudukan bahasa kebangsaan pada era ini begitu mencabar kerana berlaku pergerakan pantas pada maklumat, sumber kewangan dan budaya malah ia turut memberi ancaman terhadap bahasa, budaya dan kepercayaan beragama sesebuah negara.

Hishammuddin berkata, dalam konteks bahasa, matlamat akhir kerajaan adalah untuk melahirkan generasi masa depan bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa yang menjad identiti mereka, mempunyai kefasihan yang tinggi dan sedia memberikan penghormatan serta kedudukan kepada bahasa kebangsaan walau di mana mereka berada.

Sehubungan itu, beliau menyeru Sasterawan Negara, pakar-pakar bahasa dan setiap rakyat memberikan sokongan padu ke arah memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi identiti bangsa di negara ini.

Pendapat Hishamuddin itu disifatkan oleh golongan sasterawan dan pakar bahasa di negara ini sebagai mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penting di Nusantara.

Sasterawan Negara Muhammad Abdul Biang yang lebih dikenali sebagai Arena Wati berkata, semua pihak perlu memberikan sokongan kepada DBP dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sastera.

“Kalau kita tidak mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, siapa lagi yang boleh berbuat demikian?

“Kita tidak mahu melihat bahasa Melayu dipinggirkan kerana kita bimbang bahasa kebangsaan akan diketepikan di negara sendiri,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut baru-baru ini.

Arena Wai menambah, penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa lain juga boleh menyebabkan kedudukan bahasa itu terhakis.

Oleh itu, katanya, usaha bagi mendaulatkan bahasa Melayu hendaklah disokong oleh setiap rakyat. Beliau tidak mahu hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa jati diri bangsa menjadi tidak jelas fungsinya.

“Saya bimbang dengan sikap sesetengah pihak yang masih takut-takut dan memperkecil-kecilkan kedudukan bahasa Melayu kerana sudah jelas bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca,” tambahnya. Tegas Arena Wati, bahasa Melayu kini menjadi bahasa kelima terbesar di dunia. Perasaan yang sama turut dilahirkan oleh Pensyarah Bahasa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Awang Sariyan.

Beliau berkata, kedudukan bahasa Melayu perlu dipertahankan kerana ia merupakan bahasa jati diri bangsa Melayu.

Katanya, usaha mempertahankan bahasa Melayu perlu dipandang serius kerana ia adalah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dan merupakan bahasa bidang perundangan.

“Saya harap semua pihak mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu kerana tanpa usaha itu saya bimbang bahasa itu akan terpinggir dalam era globalisasi sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, bagi memeriahkan sambutan 50 tahun DBP sepanjang tahun ini, DBP telah menyusun beberapa program dalam usaha menyenaraikan sambutan itu di seluruh negara.

Antara program tersebut ialah Malam Pengucapan Puisi di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 26 Jun, Pelancaran Adaptasi Novel Ke Drama (27 Jun), Pertandingan Lagu Puisi di Kuching (27 Jun) dan Baca Cerpen Tunas Cipta 7 di Johor (2 Julai).

Anugerah Citra Wangsa Malaysia pula akan diadakan di DBP Kuala Lumpur pada 14 Julai, Majlis Hamparan Budi Jalinan Kasih di DBP Kuala Lumpur (21 Julai), Teater Perdana Wangi Jadi Saksi di DBP, Kuala Lumpur (20 hingga 30 Julai), Teater Darah Yang Mengalir (8 hingga 9 Ogos) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII pada 15 hingga 17 September).


(Sumber : Utusan Malaysia (26/06/2006) )

Dikemaskini pada 22 Jan 2009

http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=819&IID=

CABARAN MEMPERKEMBANG BAHASA MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT

APABILA berdepan dengan teknologi maklumat (TM), Internet, ruang siber, globalisasi dan liberalisasi, apakah yang terjadi dan akan terjadi kepada bahasa Melayu nanti? Yang jelas ialah pendulum di seluruh dunia telah berayun ke arah mempelajari dan memperkembang bahasa Inggeris, bahasa dunia!

Jawapan kepada soalan di atas terletak pada kemampuan, kebolehan, kepintaran dan kekreatifan kita menggunakan bahasa Melayu, yang sudah mempunyai kekuatan dan status yang ada; bahasa yang keempat besarnya di dunia. Beberapa isu itu sudah dibincangkan dalam rencana saya dalam Dewan Bahasa (November 2003: 16-24). Kekuatan dan status bahasa Melayu kini terletak pada sifat-sifat asasi yang membolehkannya dikembangkan dari masa ke masa. Sifat-sifat itu bukanlah penganugerahan daripada kuasa Tuhan, tetapi hasil kejuruteraan bahasa melalui pembentukan sosial, ekonomi, politik dan lain-lain daripada manusia yang menggunakannya. Keajaibannya juga terbukti pada peranannya sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum selepas kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Bahkan bahasa Melayu pernah menjadi bahasa perdagangan, dan lingua franca antara orang rumpun Melayu dengan orang bukan rumpun Melayu. Kegemilangan masa lampau itu boleh kekal selagi semua rakyat bertekad untuk memperkembangnya dalam menghadapi arus globalisasi dan liberalisasi.

Untuk menghadapi cabaran baru dalam era TM dan seterusnya, bahasa Melayu perlu dikembangkan menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber pemodenan, bahasa sumber maklumat, bahasa sumber pengetahuan, bahasa sumber sains dan teknologi, lebih-lebih lagi bahasa sumber kewangan. Untuk berbuat demikian, lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam TM perlu dihasilkan. Impian itu hanya boleh tercapai dengan adanya lebih banyak pengarang, penyelidik, guru, penerbit dan institusi penyelidikan. Selain itu, sebahagian bahan itu mestilah berbentuk digital untuk memenuhi kehendak generasi muda yang membesar di depan komputer, Internet, pangkalan data dan portal. Tanggungjawab memperkembang, mempertahankan dan memodenkan bahasa kebangsaan yang berat ini tidak dapat dipikul oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan atau Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Dengan kata lain, semua pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan mesti melibatkan diri secara aktif.

Inilah masanya untuk kita melakukan suatu yang besar maknanya kerana kita masih berada di pangkal jalan era TM. Jika tidak, kita akan karam dalam arus globalisasi yang juga digelorakan bahasa Inggeris, selain kuasa ICT (Information, Communication and Technology). Memandangkan semakin banyak rakyat Malaysia kini sudah berpendidikan tinggi, maka seharusnya tahu melakukan kerja dengan lebih bijak, inovatif, kreatif dan produktif dan seharusnya mencontohi jejak langkah sarjana dan institusi di England, Amerika Syarikat dan Australia, misalnya dalam memperkembang bahasa Inggeris. Usaha itu sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan dengan bantuan teknologi maklumat. Daripada projek penyelidikan bahasa Inggeris seperti Technology Enhanced Language Learning (TELL) dan Computer Assisted Language Learning (CALL) yang dilakukan di England, Amerika Syarikat dan Australia, kini sudah ada data bahasa terbaca mesin yang boleh diperoleh dalam CD-ROM, Internet dan pakej elektronik yang lain tentang bahasa Inggeris.

Peluang untuk melakukannya terbuka luas kini dengan semakin banyak alat bantuan sudah tersaji di hadapan kita. Minat kita terhadap bahasa Melayu sudah meningkat ekoran peningkatan penekanan negara asing terhadap pasaran ekonomi di Alam Melayu. Cabaran kepada bahasa Melayu pada masa depan terletak pada sama ada kita boleh memperkembangnya menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber ekonomi, bahasa sumber teknologi dan bahasa sumber pemodenan yang boleh diharapkan untuk membuka pintu gerbang ilmu, mencari mutiara maklumat, dan menaiki mahligai pendidikan yang lebih tinggi untuk dapat menikmati rasa pemodenan, sekali gus peningkatan taraf hidup. Perjalanan itu bukan sahaja panjang, tetapi juga berliku-liku dan penuh ranjau. Segala-galanya, menuntut peningkatan intelektual rakyat Malaysia dan pengintelektualan bahasa Melayu. Untuk melaksanakannya, lebih banyak buku dan pengarang diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam bidang IT. Sehubungan itu, portal www.malaycivilization.com yang dibina khas di ATMA itu cumalah satu tapak kecil dalam langkah besar kita untuk menyebarkan bahan berbahasa Melayu di ruang siber. Pendek kata, pintu untuk memperkembang bahasa Malaysia sudah bertambah baik, semakin menjadi lebih menarik.

http://www.docstoc.com/docs/20182667/Cabaran-memperkembang-Bahasa-melayu-dalam-era-Teknologi-maklumat

BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI

oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim
[Disember 2004]


NEGARA TELAH melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Dan pada tahun 2020 Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa.


Kita, misalnya, sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi sebenar, ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal. Pada tahun 2020, iaitu sekitar 15 tahun dari kini tentunya serba-serbi berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramal, akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin. Cara hidup kita di Malaysia dan juga di merata dunia akan turut berubah.


Kita sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarab di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru.


Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau yang membina bangsa yang dikehendaki kerana proses yang ada pada masa itu ialah yang sesuai dipanggil osmosis di mana proses nilai kuat lagi berpengaruh menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu yang bakal disedut melalui proses osmosis itu nanti ialah menerusi pencabulan bahasa, kebudayaan dan cara hidup yang mencorakkan sifat kemelayuan mereka. Pandangan yang cenderung ke arah fenomena ini mungkin akan dipertikai tetapi pada amatan kebanyakan pemerhati ianya pasti berlaku.


Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Orang kini mengirim berita pantas melalui e-mail dan sms – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet. Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Istilah Infotenmen, misalnya, yang menimbulkan kontroversi dalam penggunaan istilah bahasa Melayu juga merupakan satu istilah baru yang dipertikaikan walaupun Menteri Penerangan telah menghujahkan alasan-alasan penggunaannya di Parlimen. Hiburan, berita dan maklumat, kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturan adalah lebih kurang 70% dalam bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu bahasa Inggeris.
Nisbah perkataan baru yang di ceduk dari bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita. Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersediakah kita mempertahankan diri agar jati diri dan kesinambungan bina bangsa terjamin? Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab secara tepat dan kalau dijawab pun ianya belum pasti akur kepada apa yang mungkin terjadi.


Jika diamati generasi muda Melayu di pusat-pusat Bandar, akan tersua amalan asas mereka. Mereka leka dengan perkelilingan baru — keluarga, hiburan, sukan, tempat kerja dan tumpuan-tumpuan hidup yang lain lantas dipengaruhi unsur-unsur global yang telah dipopularkan melalui media, dagangan antarabangsa dan hiburan muzik serta wayang gambar hollywood dan bollywood. Mereka kian lama kian jauh dari apa yang dahulunya boleh dikesan sebagai belia Melayu. Sementara itu golongan Korporat Melayu cuba berlumba-lumba mendapatkan hak mereka dari “kuih” ekonomi yang ada, sekali pun tahap yang dicapai setakat ini masih di paras 18%. Jelaslah 12% lagi masih di awangan dan belum menepati janji serta aspirasi kita yang digurindamkan pada tahun 1971 dahulu.


Dalam perkelilingan beginilah masyarakat Malaysia hidup di negara ini. Dan dalam perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib bahasa Melayu (BM). Cuma kali ini ditambah sedikit dengan kaitannya dengan senario global. Sebenarnya memperkatakan tentang bahasa Melayu hakikatnya ialah kita memperkatakan satu-satunya aspek asas orang Melayu itu sendiri. Survival bahasa Melayu di peringkat yang maju dan beridentiti lantas juga mencerminkan bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Cuma bangsa Malaysia adalah igauan politik yang hendak dicapai tetapi Bangsa Melayu sudah ada dan nyata.


Kebelakangan ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang Bahasa Melayu. Tetapi boleh dikatakan kesemuanya membuat rungutan atau dengusan yang negatif tentang keadaan terumbang-ambing beberapa aspek bahasa Melayu itu. Dari tahun 1999 hingga 2003 terdapat secara rambang sekitar 94 rencana utama termasuk kertas-kertas simposium dan konvensyen yang memperkatakan tentang bahasa Melayu dari pelbagai sudut dan aspek. Tajuk-tajuk yang digemari ialah masalah bahasa rojak; keupayaan bahasa Melayu dalam dunia moden, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, kemampuan bahasa Melayu sebagai lingua franca di kepulauan Melayu, bahasa Melayu dalam konteks pembudayaan bahasa persuratan, kelunturan bahasa Melayu dan pelbagai lagi tajuk pokok yang kesemuanya menyentuh tentang pusaka perhubungan Melayu ini. Malangnya tiada satu pun di antara rencana-rencana itu yang memuji atau memberi markah tinggi kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu. Sebenarnya usaha memperkasakan Bahasa Melayu semacam sudah dilupai, seolah-olah seperti bidalan terpijak pergi terlanda pulang. Boleh juga dikatakan bahawa piel atau sikap yang ada ialah sikap tangkap muat atau taking things for granted dalam kiasan bahasa Inggerisnya.


Bahasa Melayu dalam era global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar dan penuh permasalahan. Ia berkait rapat dengan soal jati diri orang Melayu dan bangsa Malaysia amnya. Ia juga suatu masalah pembudayaan yang amat berat dan rumit. Tajuk ini walaupun pernah dibincangkan dalam beberapa polemik yang terdahulu lebih banyak menimbulkan masalah daripada jawapan. Ini adalah kerana bahasa Melayu itu sendiri sedang menghadapi cabaran dan rintangan yang hebat di dalam negara sendiri. Bercakap pasal bahasa Melayu di era global semestinya memerlukan kita membincangkan terlebih dahulu beberapa isu bahasa secara domestik. Jika tidak, perbincangan kita semacam belum tegak sudah berlari.


Bahasa sebagai alat komunikasi antara manusia mempunyai berbagai-bagai fungsi. Ia berfungsi mengungkapkan konsep, gambaran dan menjelmakan perbuatan. Ia berfungsi menyampaikan kehendak mental. Ia berfungsi mengungkapkan perasaan, rasa hati dan gerak hati. Pendeknya sesuatu yang bermain-main dalam fikiran kita dapat kita ungkapkan melalui bahasa.


Dengan bunyi glottal atau vokal manusia melahirkan bunyi itu. Pengalaman begini memakan masa dan merentas zaman. Perkataan baru sebelum diterima pakai sebagai sebahagian bahasa sesuatu masyarakat itu mengalami ujian ‘penerimaan’ atau ‘penolakan’. Proses menerima atau menolak ini bergantung kepada sekuat mana jati diri bangsa penuturnya. Jika lemah maka lebih banyaklah kata-kata yang diimport sekalipun di dalam himpunan kata-kata bangsa sudah sedia ada kata-kata sendiri.


Sesuatu yang bermain-main dalam fikiran secara umumnya disebut bayangan dan secara khususnya disebut sebagai citra dalam Bahasa Sanskrit dan atau imej dalam alih Bahasa Inggeris. Citra atau imej muncul dalam bentuk simbol atau perkembangan. Misalnya apabila kita berfikir tentang kuda, kita menuturkan sebagai kuda atau menulisnya dalam istilah-kata "Kuda". Ertinya setelah membayangkan konsep "kuda" dalam fikiran, kita jelmakan ianya dalam bentuk lisan atau tulisan sebagai kuda.


Bahasa (kata istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan tahap-tahap ilmu yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud empat tahap keilmuan. Ilmu yang terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya - ilmu sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya), diikuti tahap yang paling tinggi iaitu ilmu rasional ( ilmu falsafah dan ilmu pemikiran kreatif), ilmu laduni (intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada Allah dan ilmu tertinggi ialah ilmu makrifat yakni ilmu tentang Ilahi yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam hierarki ilmu.Setiap tahap ilmu mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang tersendiri. Misalnya bahasa yang di ungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah bahasa saintifik. Bahasa saintifik membawa pengertian bahasa yang logik yakni yang berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan erti tepat. Dalam konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat penghasilan tidak didalami sebelum kita mengaku kalah lalu bahasa Melayu tidak mampu menjadi wahana sains dan matematik.

Isu-isu bahasa :
Pada amnya terdapat 7 isu pokok yang berkaitan bahasa Melayu dalam konteks bina bangsa (nation building):i. Masalah penjiwaan bahasa Melayuii. Masalah bahasa rojakiii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa Melayuiv. Utiliti atau sifat perlu-guna bahasa Melayuv. Unsur-unsur dan amalan yang merosakkan bahasa Melayuvi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963vii. Perubahan dasar bahasa ilmui.


Penjiwaan bahasa: Bagi tempoh tahun-tahun 1960’an Isu bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menjadi perkara hangat dan isu yang membakar semangat perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Bahasa Jiwa bangsa sesungguhnya sebahagian dari jiwa nasionalisme orang Melayu. Begitu penting dan utama bahasa Melayu sehingga UMNO sendiri menerapkannya ke dalam fasal 3 perlembagaannya tentang bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sementelahan pula istilah Melayu itu sendiri mengikut Perkara 160 Perlembagaan negara mewajibkan seseorang itu berbahasa Melayu selain beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu sebelum layak diiktiraf sebagai seorang Melayu. Kempen Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pimpinan Tuan Syed Nasir Ismail masih diingati sebagai yang terhebat dan berkesan.


Secara rambang keutuhan bahasa Melayu tidak banyak dipertikaikan sehingga 1986. Bahasa Melayu itu sendiri mengalami edaran zaman dan evolusi. Sistem ejaan, kerjasama penyeragaman Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia, penulisan novel, cerpen dan penyemarakan bahasa menjadi amalan biasa sehingga apabila menjelang tahun 1985 penulisan novel, cerpen, sajak terus beroleh tempat di kalangan pembaca. Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai semenjak 1959 hingga awal 1980’an terus menjadi kilang guru bahasa Melayu yang berkesan dan disegani. Kini ianya cuma jadi sejarah. Penekanan kepada bahasa Melayu dari sudut perguruan khusus sudah kurang mendapat perhatian.


Bila pengkhususan pengajaran bahasa berkeadaan sedemikian, maka hasil penjiwaannya juga turut berkurangan. Sastera Melayu, penulisan kreatif Melayu, bahasa Indah Melayu dan pada amnya pembudayaan bahasa Melayu turut merana. Bila jiwa sudah lemah dalam sesuatu amalan, maka aspek praktisnya juga turut lemah. Lemahnya penjiwaan adalah terasas kepada tuntutan perkelilingan. Lemah penjiwaan ini hanya dapat diatasi dan diperkukuh semula jika hala tuju jiwa bangsa tadi bersedia memungut yang cicir, mencari yang hilang. Jika polemik hanya tertumpu kepada hujah yang secara asasnya tidak yakin kepada bahasa ibunda sendiri sebagai bahasa ilmu tentulah ubat yang dicari tidak akan menyembuhkan penyakit. Penyakit lama akan hinggap kembali. Kini orang Melayu tak pandai sangat berkata halus lagi. Antara “Hi” dan “Hello” dan “showtime” pepatah-petitih sudah dilupai. “Apa khabar” juga sudah dipulas oleh Assalamualaikum. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Buku Kiliran Budi dan Ilmu Mengarang Melayu karya Pendeta Za’ba sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk lagi. Kita menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Di sinilah barangkali tepat dikatakan: “koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak”. Kerosakan ini semua adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita:
Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.

ii. Masalah bahasa rojakKini kita sudah diserang penyakit campur-aduk seperti yang disebutkan di atas. Penyakit campur-aduk inilah yang menyebabkan berkembangnya bahasa rojak. Bahasa rojak wujud dalam sesuatu ayat yang diselang-selikan dengan bahasa asing sehingga campurannya itu semacam hidangan rojak. Hanya yang berbeza ialah rojak lebih sedap dimakan tetapi bahasa rojak menyebabkan kita sakit telinga mendengarnya dan paling parah, bangsa Melayu malu dipalunya.


Awal-awal lagi boleh diperakukan, mencedok perkataan asing untuk dimuatkan ke dalam sesuatu ayat bahasa Melayu memang tidak dihalang, malah memang benar seperti kata-kata Pendeta Za’ba dalam buku klasiknya Ilmu Mengarang Melayu bahawa dalam bahasa Melayu sedia terdapat sekian banyak perkataan yang asalnya adalah dari pelbagai punca: Sanskrit, Inggeris, Portugis, Belanda, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Tidak perlu bagi saya menyatakan perkataan-perkataan itu kerana umum sudah pun mengetahuinya.

Paling mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang ungkapan-ungkapan seperti “e-mail”, “sms” “internet”, “software”, “hardware”, “ISDN”, “html”, “computer” “website” dan sebagainya. Sekarang pun kita secara harian mendengar dialog seperti berikut:
“Hei, hari ini birthday I lah”
“Dalam hal ini you yang paling best”
“How are you today...harap OK lah”
“You dah breakfast kah”
“Hei, kawan-kawan, it’s showtime”
“Inilah showtime yang ori…”


Ungkapan-ungkapan dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di kaki lima dan di kedai kopi dialog generasi muda begitu juga. Warga emas juga diheret sama. Jelas tiada pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga berterusan wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita sehari-hari. Di samping pengawasan di media barangkali boleh dilakukan, tetapi ianya sukar dikuatkuasakan terhadap individu yang sudah memilih tatabahasa yang baru untuk bercakap antara seorang dengan seorang yang lain. Jika diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti oleh ratusan contoh lain yang rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah rosak keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak tertarik dengan amalan campur-aduk ini ke tahap yang dialami bahasa Melayu. Yang merunsingkan ialah kepekaan dan rasa prihatin masih belum tertera di pemikiran yang bertanggung jawab di bidang penggunaan bahasa.


Ada beberapa petua sebelum masyarakat harus membenarkan bahasanya dirasuk bahasa rojak yang tidak indah dan tidak mencerminkan jati diri. Pihak yang mengatakan bahawa apa salahnya diambil perkataan asing, sedangkan perkataan-perkataan asing sudah pun dipinjam semenjak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Ini memang boleh diterima tetapi peminjaman itu berasas kepada beberapa syarat dan ketertiban demi menjaga keutuhan bahasa Melayu:i. Istilah atau perkataan baru itu bolehlah diambil jika tiada perkataan yang sama maksudnya dalam bahasa Melayu; Jika dalam bahasa sendiri ada perkataan yang sesuai, kenapa kita perlu tiru hak orang? Dalam pengertian ini, misalnya kita tak perlu ambil birthday sedangkan hari jadi atau hari kelahiran ada dalam bahasa Melayu.


Showtime boleh diganti dengan masa persembahan atau saat persembahan; ori dengan asli;ii. Peniruan atau pengambilan kata perbendaharaan orang lain harus menambah ilmu dan jati diri kepada masyarakat.iii. Pihak pengembang dan pemaju bahasa ibunda harus bertindak dan membetulkan sesuatu ungkapan atau perkataan yang dirasakan menceroboh bahasa sendiri. Malangnya kuasa membetulkan ini tiada pada sesiapa atau mana-mana pihak pada masa ini.


Manakala siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat, seperti yang laksanakan Astro pada masa ini, kita dapat bayangkan betapa besar dan dahsyatnya kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang lain kehidupan kita.


Secara amnya kita terdedah dan terlalu terbuka kepada anasir-anasir luar. Mekanisme penahanan atau mengehadkan penerapan luaran ini tidak cukup ada pada kita sekalipun agama itu tampaknya patut lebih berkesan sebagai penangkis.Apabila bahasa berubah dan diubah soalan yang muncul ialah: siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ianya diubah sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan asing. Sebaliknya mereka mungkin beranggapan bahawa imej yang mereka perolehi dengan menyelitkan perkataan Inggeris di celah-celah ayat Bahasa Melayu akan meninggikan imej mereka walaupun ini tentunya berupa pendekatan bersifat makjujad (hypocrite); atau dengan bahasa Melayu rojak mereka berasa boleh mencapai kepuasan berkomunikasi; atau, dan ini penting, mungkin asuhan bahasa Melayu mereka di sekolah tidak sampai ke tahap mantap. Juga terdapat di beberapa kalangan, termasuk pemimpin yang tidak berpendidikan aliran Inggeris, lantaran mereka rata-rata dianggap tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, mereka cuba menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam perbualan dengan tujuan supaya orang menganggapnya boleh speaking atau ‘tinggi’ tahap pendidikannya.
Walaupun gejala ini barangkali kecil bilangannya, boleh diperakukan bahawa ianya wujud nyata di kalangan masyarakat kita.Sebenarnya ungkapan sekerat belut-sekerat ular tadi:
“Hei, hari ini birthday I lah” boleh dituturkan sebagai “Hei, hari ini hari jadi saya (aku)lah”. Semua ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan secara Melayu 100%. Tetapi kenapa tidak dilakukan sebegitu? Ini semua adalah petanda yang bakal membawa kepada kelunturan. Ini bukan sekadar ramalan seorang idealis atau yang semata-mata bersifat tulen tak menentu, tetapi pandangan ini bertapak pada alam nyata:
Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betina
Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka.
Jika demikian cara dan kaedah yang paling berkemungkinan untuk menangani bahasa rojak yang memuramkan imej bahasa kita ialah dengan menjayakan program-program latihan lisan yang membina amalan komunikasi. Ia harus dijalankan di semua institusi persekolahan dan pengajian tinggi.


Personaliti media utama, pemimpin, institusi kawalan kerajaan harus mengutamakan percakapan bahasa Melayu yang betul. Gejala bahasa rojak tidak akan hapus kerana pembudayaan bahasa ibunda belum wujud sepenuhnya di negara ini. Jati diri tidak dikaitkan dengan pentingnya bahasa ibunda dipersadakan.iii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa MelayuDari segi bahasa, bahasa Inggeris sudah nyata akan merobah cara berfikir dan juga cara bertindak di samping cara menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal ditimba.
Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir dalam bahasa Inggeris kemudian bercakap dalam bahasa Melayu. Malah bermimpi dalam bahasa Inggeris juga kebiasaan. Juga akan ada anak-anak masyarakat Cina dan India Malaysia yang bercakap dalam bahasa Melayu dan berfikir dalam bahasa Cina dan India. Sekarang pun kecenderungan ini sudah berlaku. Juga tidak dapat dinafikan bahasa Mandarin dan Tamil akan beroleh tempat yang lebih signifikan melalui langkah-langkah pembudayaan bahasa mereka.


Oleh kerana bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu akan disadur banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur bahasa Melayu mesti bersedia untuk perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat sebagai pengamal keaslian (purist) mungkin akan berduka kerana bahasa lama akan secara perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula akan muncul.Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Ia juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat dasar mengglobalkan bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu.


Bila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dari segi keutamaan global bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan posisi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari sudut ini tidak akan meningkat tanpa peningkatan industri buku yang seharusnya diperjuangkan.Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang dicetuskan oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu nanti bakal merubah pemakaian tatabahasa Melayu.


Seharusnya, bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu dikekalkan tetapi berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna kita tidak minta dibuli atau dipijak. Ini termasuklah asuhan Islam positif yang perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam hal ini nilai-nilai yang dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih diminati. Amalan Islam yang mengambil kira tamadun yang berevolusi, konsep dan amalan budi-bahasa, amalan tradisi Melayu seperti sopan-santun, kekeluargaan, hormat-menghormati dan sebagainya akan lebih membimbing. Pendeknya mesti diteruskan apa yang selama ini dikenali sebagai “asuhan budi”. Barangkali falsafah “Rukunegara” yang membentuk masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh disemarakkan semula. Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh dihentikan atau dicanai oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti diadakan. Mewujudkan Kementerian Kebudayaan kesenian dan Warisan hanya sebahagian daripada usaha ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak diwujudkan, soal adab dan tamadun tidak harus dikelasduakan. Bahasalah menjadi penjalin dan penjana bangsa.iv. Utiliti atau sifat perlu guna bahasa Melayu adalah lumrah manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa menepati tuntutan kegunaan atau utilitinya, perkara atau barang itu akan kurang disimpan, kurang dipakai dan kurang keperluannya.
Dalam satu aspek bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa ilmu terus menerus disalur oleh bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang satu lagi ialah bahawa bahasa Melayu masih diperlukan sebagai syarat lulus dan cukup syarat dalam peperiksaan dengan kelulusan dalam bahasa Melayu. Lagipun sebagai lingua franca negara ini BM akan tetap digunakan sebagai wahana komunikasi. Sebagai bahasa ilmu BM dikhuatiri tidak akan terlalu membangun kecuali dasar pembukuan negara diubah dengan erti kata semua teks ilmu moden dan usang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia, kaji cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan baca lantaran buku-buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa Inggeris, bahasa yang dipelajari di sekolah untuk menimba ilmu. Di sini sudah jelaslah kedudukan BM sebagai bahasa ilmu.


Sebaliknya pula jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai bahasa Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa. Keadaan serba-salah ini sebenarnya tidak harus digusarkan. Ini adalah kerana jika zaman moden dunia hendak disertai oleh warga Malaysia melalui kebangkitan global, bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi. Ini bererti sekian banyak istilah bahasa Inggeris akan menerpa masuk kepada perbendaharaan kata BM. Bahasa rojak akan berterusan dituturkan dan dilaungkan.


Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati akan diperolehi kerana nahu semasa akan terus digunakan. Sebagai perbandingan, bahasa Arab juga menghadapi permasalahan yang sama. Mereka belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa ibunda mereka. Justeru saban tahun sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai jurusan sains mengaji di universiti dan institusi pengajian tinggi Barat yang bahasa pengantarnya ialah Inggeris.


v. Unsur-unsur yang merosakkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat. Sementara keadaan bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding BM tulisan, beberapa sebab dapat diperhatikan:


a. kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah, mahasiswa dan petugas awam.
b. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam pembahasaan dan pertuturan.
c. Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah.
d. Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri.
e. Pembelajaran dalam bidang the Arts yang tidak disaring dan dikemas.
f. Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran.


Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan rasmi juga dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan penggunaan BM yang baik. Jika bahasa mesyuarat juga bercampur-aduk dengan selingan bahasa rojak, bagaimana penggunaan bahasa baik dapat dicapai? Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati segan hidup tak mahu lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin terhadap tulisan Jawi.
Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai pencetus nasionalisme Melayu kini sudah jadi edisi sekali seminggu. Itu pun dengan jualan yang kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Ini memalukan. Jika dicari di mana hilangnya, jika dipintas di mana hanyutnya, puncanya ialah pembelajaran bangsa.


vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963Cinta rakyat kepada Bahasa Kebangsaan meluap-luap sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa Kebangsaan akhirnya diam dan mula segan dan hormat terhadap bahasa ibunda orang Melayu itu. Pada tahun 1963 Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan peruntukan Perkara 152 perlembagaan Persekutuan. Ia tidak memperuntukkan sebarang provisi penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya. Malah jika terdapat penggunaan bahasa pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan.
Apabila Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu lantas dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta bahasa Kebangsaan 1963 adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya bahasa Melayu. Pada satu hakikat ini mungkin benar tetapi pada pengertian khususnya Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni menyatakan apa yang sudah jelas dan nyata daripada hal bahasa Melayu itu. Sebaik-baiknya beberapa pindaan harus dilakukan dalam usaha memberi sedikit kuasa penguatkuasaan kepada satu-satunya agensi bahasa di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penguatkuasaan yang dihajati benar ialah apabila disuai penggunaan yang telah disalahgunakan, DBP tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis, misalnya, Biro Bahasa Perancis di bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa membetulkan sesuatu penyelewengan bahasa Perancis. Fenomena “pencapaian dan kecapaian” pada tahun 1996 seharusnya boleh diatasi dengan segera oleh DBP tetapi lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan bahasa yang disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan salah. Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian.
vii. Perubahan dasar:
Benarkah ia melemahkan Bahasa Melayu?Pada suatu hakikat memang boleh diterima bahawa dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran matematik dan sains merobah satu lagi pancang seri yang selama ini menjadi kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut di Sekolah Kebangsaan.
Tetapi realiti perkara ini memerlukan penilaian objektif dan bukan subjektif. Sebelum anjakan dasar ini dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan sains dan matematik di kalangan bukan Melayu berada di tahap baik. Ini adalah kerana pengajaran bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan berkesan sedangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian sains dan matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya, terus meningkat. Ini disebabkan kualiti pengajaran menyumbang kepada pencapaian anak-anak di SRJK.
Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran sains dan matematik. Tetapi pencapaian mereka di bidang-bidang berkenaan terus meningkat sekalipun pencapaian bahasa Inggeris mereka cuma di peringkat sederhana.Apa akan berlaku jika amalan lama tidak dianjak? Pertama anak-anak Melayu akan terus berada di tahap lama, mereka akan terus lemah pencapaian B Inggeris, sains dan matematik.


Sekurang-kurangnya bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik lantas secara teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain dengan lebih mudah. Tetapi ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu kepada murid-murid. Ini bergantung kepada kualiti para guru itu sendiri. Jika kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian di kedua-dua subjek itu juga akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik ialah mewujudkan kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi.


Peranan Maktab Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan.Juga akan berlaku ialah bahasa Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu tersebut. Dari satu sudut ini kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi dari segi sebenar jika diimbangi ia boleh menjadi rangsangan baru. Tetapi bahasa Melayu tidak boleh dianggap bahawa lantaran bahasa Inggeris dipilih untuk menyegarkan pengajian matematik dan sains maka BM akan terus lemah dan menghilang. Ini merupakan sikap mengalah dan pesimis.


Rumusan TindakanTampak sebagai penting iaitu penggunaan bahasa Melayu perlu dijana semula dan dikempenkan semula. Para pengucapnya mesti dalam keadaan sedar (conscious) selalu supaya megah dan berasa senang berbahasa Melayu dengan baik. Sekolah, universiti, agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan lain harus bersekutu dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat penting ini.Banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan: meningkat dan memperhebatkan dasar buku nasional; menerbitkan buku-buku bermutu dunia dan serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar cintakan bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh diteruskan. Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan terus-menerus.


Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu kita tidak harus terus berasa hilang tenaga dalam menghadapi cabaran global. Untuk menghalang bahasa Melayu daripada diselangi perkataan dan nilai luar secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi yang berterusan.


Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi BM zaman depan mesti bersandar kepada situasi menang. Untuk itu pembudayaan bahasa harus nyata.Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan & pacu” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Tepuk dada, tanya :"sekadar renungan dan tatapan sahaja; pelaksanaan bagaimana??"


http://lokmandayat.blogspot.com/2008/11/bahasa-melayu-dalam-era-globalisasi.html