Martabatkan bahasa Melayu pada zaman globalisasi

LANGKAH Kementerian Pelajaran membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan patut mendapat pujian semua pihak kerana ia mampu memenuhi tuntutan semasa dalam era globalisasi.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat penegasan itu pada majlis sambutan Jubli Emas dan perasmian Menara DBP yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuan Syed Putra Jamalullail di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya: “DBP perlu dibantu kerana tanpa bantuan itu hasrat untuk melihat bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang memenuhi tuntutan semasa tidak akan kesampaian.”

Beliau tidak menafikan kedudukan bahasa kebangsaan pada era ini begitu mencabar kerana berlaku pergerakan pantas pada maklumat, sumber kewangan dan budaya malah ia turut memberi ancaman terhadap bahasa, budaya dan kepercayaan beragama sesebuah negara.

Hishammuddin berkata, dalam konteks bahasa, matlamat akhir kerajaan adalah untuk melahirkan generasi masa depan bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa yang menjad identiti mereka, mempunyai kefasihan yang tinggi dan sedia memberikan penghormatan serta kedudukan kepada bahasa kebangsaan walau di mana mereka berada.

Sehubungan itu, beliau menyeru Sasterawan Negara, pakar-pakar bahasa dan setiap rakyat memberikan sokongan padu ke arah memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi identiti bangsa di negara ini.

Pendapat Hishamuddin itu disifatkan oleh golongan sasterawan dan pakar bahasa di negara ini sebagai mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penting di Nusantara.

Sasterawan Negara Muhammad Abdul Biang yang lebih dikenali sebagai Arena Wati berkata, semua pihak perlu memberikan sokongan kepada DBP dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sastera.

“Kalau kita tidak mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, siapa lagi yang boleh berbuat demikian?

“Kita tidak mahu melihat bahasa Melayu dipinggirkan kerana kita bimbang bahasa kebangsaan akan diketepikan di negara sendiri,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut baru-baru ini.

Arena Wai menambah, penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa lain juga boleh menyebabkan kedudukan bahasa itu terhakis.

Oleh itu, katanya, usaha bagi mendaulatkan bahasa Melayu hendaklah disokong oleh setiap rakyat. Beliau tidak mahu hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa jati diri bangsa menjadi tidak jelas fungsinya.

“Saya bimbang dengan sikap sesetengah pihak yang masih takut-takut dan memperkecil-kecilkan kedudukan bahasa Melayu kerana sudah jelas bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca,” tambahnya. Tegas Arena Wati, bahasa Melayu kini menjadi bahasa kelima terbesar di dunia. Perasaan yang sama turut dilahirkan oleh Pensyarah Bahasa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Awang Sariyan.

Beliau berkata, kedudukan bahasa Melayu perlu dipertahankan kerana ia merupakan bahasa jati diri bangsa Melayu.

Katanya, usaha mempertahankan bahasa Melayu perlu dipandang serius kerana ia adalah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dan merupakan bahasa bidang perundangan.

“Saya harap semua pihak mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu kerana tanpa usaha itu saya bimbang bahasa itu akan terpinggir dalam era globalisasi sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, bagi memeriahkan sambutan 50 tahun DBP sepanjang tahun ini, DBP telah menyusun beberapa program dalam usaha menyenaraikan sambutan itu di seluruh negara.

Antara program tersebut ialah Malam Pengucapan Puisi di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 26 Jun, Pelancaran Adaptasi Novel Ke Drama (27 Jun), Pertandingan Lagu Puisi di Kuching (27 Jun) dan Baca Cerpen Tunas Cipta 7 di Johor (2 Julai).

Anugerah Citra Wangsa Malaysia pula akan diadakan di DBP Kuala Lumpur pada 14 Julai, Majlis Hamparan Budi Jalinan Kasih di DBP Kuala Lumpur (21 Julai), Teater Perdana Wangi Jadi Saksi di DBP, Kuala Lumpur (20 hingga 30 Julai), Teater Darah Yang Mengalir (8 hingga 9 Ogos) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII pada 15 hingga 17 September).


(Sumber : Utusan Malaysia (26/06/2006) )

Dikemaskini pada 22 Jan 2009

http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=819&IID=

No comments:

Post a Comment